Ubat sakit perut merupakan antara rawatan paling biasa dicari apabila berdepan masalah sepert kembung, gastrik, cirit birit atau kekejangan perut.
Walaupun ada sesetengah situasi di mana sakit perut mermlukan pemeriksaan doktor, kebanyakan kes ringan boleh dirawat sendiri di rumah menggunakan ubat yang sesuai.
Namun, persoalannya, patutkah anda memilih ubat moden yang tersedia di farmasi atau mencuba ubat tradisional yang telah diamalkan sejak dahulu?
Baca juga: Sering Rasa Sakit Perut Sebelah Kiri? Usah Biarkan, Bahaya!
Ubat Sakit Perut di Farmasi

1. Sodium Bicarbonate
Merupakan antasid pantas yang meneutralkan asid perut dan melegakan sakit perut, pedih ulu hati serta gastrik.
Cara guna: larutkan ½ sudu teh dalam segelas air dan minum. Tidak melebihi 3 sudu teh sehari dan hanya digunakan maksimum 2 minggu. Tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah 2 tahun, ibu mengandung atau mereka yang ada masalah usus tersumbat atau muntah berlebihan.
2. Aluminum Hydroxide
Bertindak cepat merawat rasa kenyang, pedih ulu hati dan gastrik. Boleh didapati dalam bentuk tablet atau cecair, kadangkala digabungkan dengan magnesium atau kalsium.
Dos biasa: 10 mL suspensi oral untuk dewasa. Tidak sesuai untuk pesakit buah pinggang kronik, buasir, atau wanita hamil.
3. Milk of Magnesia (Magnesium Hydroxide)
Mengurangkan asid perut dan membantu melegakan sakit serta pedih perut akibat gangguan penghadaman.
Dos: 1 hingga 3 sudu kecil sehari untuk dewasa. Elak guna pada kanak-kanak bawah 2 tahun atau mereka dengan masalah buah pinggang.
4. Simethicone
Simethicone adalah ubat sakit perut yang berfungsi merawat sakit perut akibat angin berlebihan dalam usus. Ia memecahkan gelembung gas dan membantu pengeluaran angin.
Dos: 40 mg tablet selepas makan, sehingga 3 kali sehari. Tidak sesuai untuk mereka dengan usus tersumbat atau semasa kehamilan tanpa nasihat doktor.
5. Omeprazole
Ubat sakit perut kategori proton pump inhibitor (PPI) yang mengurangkan penghasilan asid perut, berkesan untuk gastrik, ulser dan refluks.
Dos biasa: 20 mg sekali sehari sebelum sarapan. Tidak sesuai untuk kanak-kanak bawah 1 tahun atau pesakit hati serius.
6. Cimetidine
Merencat pengeluaran asid perut dengan menghalang tindakan histamin. Sesuai untuk pesakit ulser atau esofagitis.
Dos: 800 mg sekali sehari atau 400 mg dua kali sehari. Tidak sesuai untuk penghidap penyakit jantung, asma atau wanita hamil.
7. Domperidone
Merangsang pergerakan otot dalam perut dan usus, membantu kes-kes seperti penghadaman perlahan atau refluks.
Dos dewasa: 10 mg tiga kali sehari sebelum makan. Hanya digunakan kurang daripada seminggu, elakkan jika ada pendarahan atau halangan dalam sistem penghadaman.
8. Sucralfate
Pelindung perut yang membentuk lapisan pelindung pada dinding perut, sesuai untuk gastrik kronik dan ulser.
Dos: Diambil ketika perut kosong, sekurang-kurangnya satu jam sebelum makan. Tidak sesuai untuk wanita hamil, menyusu atau pesakit yang alah kepada kandungan ubat.
9. Clarithromycin (dengan Amoxicillin & Omeprazole)
Merupakan antibiotik yang digunakan untuk merawat gastrik atau ulser akibat jangkitan H. pylori. Rawatan biasanya selama seminggu.
Dos: Hanya diambil selepas pemeriksaan doktor dan diagnosis jangkitan disahkan. Kesan sampingan termasuk cirit-birit, sakit perut, loya dan perubahan rasa.
Ubat Sakit Perut Tradisional

Selain ubat sakit perut moden dari farmasi, ramai juga mengamalkan ubat sakit perut tradisional di rumah yang mudah didapati dan berkesan untuk mengatasi masalah sakit perut.
Berikut ialah 12 kaedah semulajadi yang boleh membantu melegakan ketidakselesaan perut:
1. Minum Air Secukupnya
Air sangat penting untuk membantu sistem penghadaman berfungsi dengan baik. Apabila tubuh kekurangan air, proses penyerapan nutrien menjadi perlahan dan boleh menyebabkan perut terasa tidak selesa.
Menurut Academy of Nutrition and Dietetics, minum air secukupnya membantu melembutkan najis, melancarkan pembuangan, dan mengelakkan dehidrasi antara punca utama perut memulas dan sembelit.
Selain itu, air juga boleh membantu mengurangkan masalah pedih ulu hati.
2. Elakkan Baring Selepas Makan
Selepas makan, tubuh memerlukan masa untuk mencerna makanan. Jika anda terus baring, asid perut boleh naik ke bahagian esofagus dan menyebabkan pedih ulu hati atau rasa terbakar di dada.
Ini berlaku kerana graviti tidak lagi membantu mengekalkan asid di dalam perut. Sebaiknya, duduk atau berdiri sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam selepas makan.
3. Halia
Menurut National Center for Complementary and Integrative Health, halia terkenal sebagai bahan semula jadi untuk merawat rasa loya, muntah, dan kembung. Ia membantu menenangkan perut dan melancarkan penghadaman.
Anda boleh hiris halia segar dan rebus untuk dijadikan teh, atau tambah ke dalam masakan harian. Halia juga bagus untuk wanita hamil yang mengalami morning sickness, serta mereka yang menjalani rawatan kemoterapi.
4. Diet BRAT
Diet BRAT sesuai untuk mereka yang mengalami cirit-birit. Pisang, nasi, sos epal, dan roti bakar adalah makanan lembut yang tidak merangsang sistem pencernaan.
Ia membantu mengurangkan keradangan pada perut dan usus, serta menggantikan nutrien seperti kalium dan magnesium yang hilang akibat muntah atau cirit-birit.
5. Berhenti Merokok dan Elakkan Alkohol
Merokok dan pengambilan alkohol boleh memburukkan simptom gangguan penghadaman seperti gastrik dan GERD.
Bahan kimia dalam rokok melemahkan otot sfinkter yang menghalang asid perut dari naik, manakala alkohol pula merangsang penghasilan asid.
Mengurangkan dua tabiat ini bukan sahaja membantu kesihatan perut, malah mengurangkan risiko penyakit serius seperti kanser dan ulser perut.
6. Elakkan Makanan Sukar Dihadam
Berdasarkan kajian dari World Journal of Gastroenterology, makanan berminyak, pedas, tinggi lemak dan asid boleh memburukkan sakit perut, menyebabkan kembung, atau mencetuskan cirit-birit.
Contohnya, makanan segera, makanan bergoreng, atau produk tenusu (bagi mereka yang tidak toleran laktosa) boleh memberi tekanan pada sistem penghadaman.
Pilih makanan ringan, rebus atau stim yang mudah dicerna seperti bubur nasi atau sup jernih.
7. Soda Bikarbonat
Soda bikarbonat boleh membantu meneutralkan asid dalam perut dan melegakan rasa pedih ulu hati. Campurkan satu sudu kecil baking soda ke dalam segelas air dan minum perlahan-lahan.
Namun, menurut Experimental and Therapeutic Medicine, pengambilan berlebihan boleh membawa kesan sampingan seperti loya, kekejangan otot, dan ketidakseimbangan elektrolit, jadi ia perlu diamalkan secara terkawal.
8. Buah Tin
Buah tin mengandungi serat semula jadi yang membantu melegakan sembelit dan melancarkan pergerakan usus. Ia juga membantu mengurangkan ketidakselesaan perut yang berkaitan dengan penghadaman.
Namun, jika anda sedang mengalami cirit-birit, elakkan makan buah ini kerana ia mempunyai kesan pelawas yang kuat dan boleh memburukkan keadaan.
9. Aloe Vera
Jus aloe vera dipercayai boleh membantu mengurangkan simptom seperti kembung, sendawa, rasa panas dalam perut dan loya terutama bagi mereka yang mengalami sindrom iritasi usus (IBS) atau GERD.
Walaupun jus aloe vera boleh didapati dengan mudah, pengambilannya perlu berpada-pada kerana boleh menyebabkan kekejangan atau cirit-birit kepada sesetengah individu.
10. Daun Selasih
Daun selasih mempunyai sifat anti-radang dan mengandungi minyak pati yang boleh membantu mengurangkan gas dalam perut.
Ia juga membantu melegakan kembung dan rasa tidak selesa selepas makan. Daun ini boleh direbus dan diminum sebagai teh atau dicampurkan ke dalam masakan.
11. Akar Licorice
Ubat sakit perut yang seterusnya adalah teh akar licorice. Akar licorice boleh melegakan sakit perut dan simptom penghadaman lain.
Ia juga membantu melindungi lapisan mukosa perut daripada keradangan.
Namun, licorice perlu diambil dengan berhati-hati kerana ia boleh meningkatkan tekanan darah dan mengurangkan kadar kalium dalam darah jika diambil berlebihan.
12. Nasi Putih
Nasi putih mudah dihadam dan sesuai untuk individu yang mengalami cirit-birit atau masalah usus. Ia menyerap cecair dalam usus, menjadikan najis lebih padat dan kurang kerap.
Nasi juga tidak mengandungi bahan yang merangsang asid perut, menjadikannya pilihan selamat bagi mereka yang mempunyai perut sensitif.
Baca juga: Sakit Perut Sebelah Kanan, Punca #8 Paling Bahaya!
Bila Perlu Jumpa Doktor
Anda perlu segera mendapatkan rawatan perubatan jika mengalami sakit perut bersama gejala berikut:
- Sakit yang kuat atau datang secara tiba-tiba
- Berpeluh-peluh
- Perut terasa sangat sakit atau sensitif bila disentuh
- Muntah darah atau muntah berwarna gelap seperti serbuk kopi
- Najis berwarna hitam, berdarah atau melekit
- Sukar buang air kecil, buang air besar atau kentut
- Sukar bernafas
- Sakit dada
- Hilang berat badan atau tiada selera makan
- Kulit atau mata menjadi kekuningan (jaundis)

Kesimpulan
Kesimpulannya, ubat sakit perut sama ada tradisional atau moden, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri bergantung kepada punca dan tahap kesakitan.
Rawaran tradisional menggunakan bahan semula jadi yang mudah didapati di rumah, manakala ubat moden menawarkan kelegaan pantas dan dos yang lebih terkawal.
Pilihlah rawatan yang sesuai dengan keadaan anda, dan jika sakit berpanjangan atau semakin teruk, dapatkan nasihat doktor untuk rawatan yang tepat.