free hit counter Keputihan Banyak, Bahaya Ke? Ini Punca & Cara Hilangkannya – Wanto Ever

Keputihan Banyak, Bahaya Ke? Ini Punca & Cara Hilangkannya

Kenapa keputihan banyak dan berketul?

Masalah keputihan atau lendir berwarna putih, kelabu atau krim yang keluar daripada vagina bukanlah satu perkara yang asing dalam kalangan wanita.

Statistik menunjukkan kira-kira 75% wanita yang sudah berkahwin sering menghadapi masalah ini.

Meskipun ia sering dianggap sebagai satu petanda biasa sebelum datang haid, namun ia boleh menjadi petanda kepada pelbagai masalah kesihatan serius.

Oleh itu, para wanita perlulah mempunyai pengetahuan asas yang mampu membezakan pengeluaran lendiran dari faraj secara semula jadi atau disebabkan penyakit keputihan yang memerlukan rawatan perubatan.

keputihan
Punca keputihan banyak.

Jenis Jenis Keputihan dan Sifatnya

Keputihan terbahagi kepada dua jenis iaitu keputihan fisiologi dan keputihan patologik.

1. Jenis Keputihan Wanita Fisiologis

  • Sering berlaku semasa wanita mengalami kesuburan dan sebelum menstruasi.
  • Lelehan lendir normal biasanya berwarna putih atau krim, tidak berbau dan tidak menyebabkan kegatalan.
  • Jumlah lendir adalah sedikit dan berbentuk cair.
  • Normal dan dialami oleh hampir semua wanita.

2. Jenis Keputihan Wanita Patologik

  • Lendir yang bersifat lebih kental, berwarna kuning, kelabu atau hijau.
  • Berbau busuk dan menyebabkan kegatalan pada bahagian faraj.
  • Jumlah lendir yang dikeluarkan lebih banyak.
  • Permukaan faraj kelihatan merah-merah dan ada bintik.
  • Disebabkan oleh keradangan atau jangkitan kuman (bakteria atau kulat) dan perlu dirawat segera.
keputihan
Kegatalan faraj boleh disebabkan jangkitan vagina.

Punca Keputihan

Antara punca keputihan adalah :

  1. Kurang menjaga kebersihan
  2. Gangguan keseimbangan hormon
  3. Gaya hidup
  4. Masalah kesihatan

Sila rujuk penerangan lanjut di bawah:

keputihan
Jangkitan kulat di vagina. Sumber: KKM

Punca keputihan banyak #1 : Kebersihan Alat Sulit Wanita Kurang Terjaga

Kelembapan pada bahagian faraj boleh mengundang pertumbuhan serta jangkitan mikroorganisma seperti kulat dan bakteria.

Kurang menjaga kebersihan kawasan intim boleh menyebabkan pertumbuhan bakteria dan kulat yang tidak seimbang, seterusnya mengakibatkan keputihan tidak normal.

Penggunaan pencuci yang tidak sesuai atau terlalu kerap mencuci juga boleh mengganggu keseimbangan pH semula jadi faraj.

Keadaan ini menjadikan kawasan intim lebih mudah dijangkiti.

Oleh itu, para wanita sentiasa digalakkan untuk mencuci bahagian sulit dengan air bersih dan lapkan sehingga kering setiap kali selepas membuang air kecil atau selepas aktiviti seksual.

#2 : Gangguan Keseimbangan Hormon

Perubahan atau ketidakseimbangan hormon boleh terjadi disebabkan beberapa perkara berikut.

Rembesan hormon estrogen boleh menyebabkan peningkatan atau perubahan pada keputihan.

Hormon pembiakan estrogen ketika wanita sedang hamil membuatkan kulat lebih mudah melekat pada dinding faraj.

Pengambilan ubat khususnya antibiotik yang berlebihan pada jangka masa panjang boleh mengakibatkan bakteria semula jadi pada faraj mati.

Ini seterusnya akan mendorong pertumbuhan mikroorganisma jahat seperti kulat atau bakteria.

Selain itu, ketidakseimbangan hormon juga sering berlaku semasa kehamilan, haid, menopaus atau akibat pengambilan ubat hormon seperti pil perancang.

Hormon mempengaruhi pengeluaran lendir semula jadi faraj, jadi sebarang gangguan akan memberi kesan langsung.

lendiran dari faraj
Lendiran dari faraj boleh berpunca daripada pengambilan ubat.

Baca juga:

Penyebab keputihan #3 : Gaya Hidup

Gaya hidup yang tidak sihat seperti pemakanan tidak seimbang, kurang minum air, dan stres yang berlebihan boleh mempengaruhi kesihatan faraj.

Selain itu, pemakaian pakaian dalam yang ketat dan tidak menyerap peluh turut menyumbang kepada kelembapan berlebihan yang menggalakkan pertumbuhan kulat.

Aktiviti fizikal tanpa penjagaan kebersihan yang baik juga boleh menjadi faktor.

Selain itu, wanita yang aktif dalam aktiviti seksual yang tidak sihat seperti melakukan aktiviti seks rambang dengan lebih daripada seorang pasangan juga lebih cenderung untuk menghidap pelbagai jangkitan pada faraj.

Punca kenapa keputihan berketul dan banyak #4: Masalah Kesihatan

Wanita penghidap kencing manis lebih mudah untuk alami keputihan.

Akibat kandungan gula yang tinggi dalam darah, ia boleh menggalakkan pembiakan kulat yang banyak di bahagian faraj.

Pesakit dengan sistem pertahanan yang rendah atau terjejas akibat barah, AIDS atau leukemia juga berisiko tinggi untuk alami jangkitan faraj.

Keputihan juga boleh disebabkan oleh penyakit seperti jangkitan kulat (candidiasis), bakteria vaginosis, atau penyakit kelamin seperti gonorea dan klamidia.

Keadaan ini biasanya menghasilkan keputihan yang berbau, berubah warna, dan disertai gejala lain seperti kegatalan atau rasa terbakar.

Rawatan perubatan diperlukan untuk mengatasinya.

Tips mencegah dan Cara hilangkan keputihan

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Buat kaum hawa, anda boleh amalkan beberapa kaedah pencegahan bagi masalah keputihan seperti berikut :

  • Pastikan bahagian faraj berada dalam keadaan bersih dan kering.
  • Elakkan penggunaan sabun, bedak, produk wangian atau pencuci faraj yang boleh mengakibatkan kegatalan atau mengganggu kestabilan pH.
  • Sentiasa jaga kebersihan terutamanya ketika datang haid. Pastikan anda sentiasa menukar tuala wanita dan jangan biarkan berjam-jam tanpa tukar.
  • Gunakan pelapik seluar dalam atau panty liner ketika perlu sahaja.
  • Hindari penggunaan pakaian dan seluar dalam yang terlalu ketat.
  • Gunakan seluar dalam daripada kain kapas yang menyerap peluh.
  • Tukar pakaian dalam setiap hari dan elakkan memakai seluar dalam yang lembap terlalu lama.
  • Lap dari depan ke belakang selepas buang air untuk elak jangkitan berpindah ke faraj.
  • Jauhi pengambilan ubat secara berterusan tanpa nasihat doktor.
  • Kurangkan pengambilan makanan dengan kandungan gula tinggi.
  • Ambil makanan seimbang yang kaya dengan vitamin dan probiotik (seperti yogurt), kurangkan gula, dan minum air secukupnya.
  • Dapatkan rehat yang cukup dan kawal stres juga penting kerana tekanan boleh menjejaskan keseimbangan hormon.
  • Amalkan gaya hidup yang sihat. Elakkan aktiviti seks rambang dengan lebih daripada satu pasangan.
  • Elakkan kehadiran benda asing di dalam faraj termasuk kondom yang tertinggal selepas aktiviti seks.
keputihan
Berjumpa dengan doktor jika anda ada mengalami masalah berkaitan wanita.

Kesimpulan

Keputihan adalah perkara biasa bagi setiap wanita, tetapi penting untuk membezakan antara keputihan normal dan yang menunjukkan masalah kesihatan.

Menjaga kebersihan kawasan intim, mengamalkan gaya hidup sihat, dan memahami perubahan hormon dapat membantu mencegah keputihan tidak normal.

Gejala serta komplikasi bagi masalah keputihan ini mungkin berbeza mengikut tahap kesihatan individu.

Jika keputihan disertai bau, perubahan warna, atau gejala lain yang mengganggu, segera dapatkan pemeriksaan doktor.

Wanita dengan simptom keputihan patologik juga perlu rujuk kepada doktor segera sebelum keadaan semakin teruk.

Pencegahan awal dan rawatan yang tepat mampu menjaga kesihatan alat sulit dan kesejahteraan wanita secara menyeluruh.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

About admin