Kata hubung ialah salah satu unsur penting dalam tatabahasa Bahasa Melayu yang digunakan untuk menggabungkan perkataan, frasa atau klausa dalam ayat.
Penggunaan kata hubung yang betul dapat membantu membina ayat yang lengkap, jelas, dan lancar.
Ia memainkan peranan penting dalam penulisan karangan dan komunikasi harian kerana dapat menyambungkan idea dan menyusun struktur ayat dengan lebih teratur.
Dalam bahasa Melayu, unsur ini juga memainkan peranan penting dalam membentuk ayat yang berkesinambungan serta menyampaikan makna dengan lebih tepat.
Apa Itu Kata Hubung
Kata hubung ialah kata yang digunakan untuk menghubungkan dua atau lebih unsur dalam ayat seperti kata nama, kata kerja, frasa, atau klausa.
Penggunaannya dana struktur ayat menjadikan ayat lebih mantap, tersusun dan logik dalam penyampaian maklumat. Contohnya:
- Ali dan Ahmad pergi ke kedai.
- Saya belajar kerana saya mahu lulus peperiksaan.
Dalam ayat-ayat di atas, perkataan “dan” dan “kerana” ialah kata hubung yang menggabungkan dua unsur berbeza.
Penggunaannya yang betul dapat:
- Memperbaiki kejelasan dan kefahaman dalam pertuturan harian.
- Mengelakkan ayat tergantung atau tidak lengkap.
- Membantu penyusunan idea yang lebih logik dan berkesan.
- Meningkatkan mutu penulisan karangan, terutamanya dalam bahagian esei peperiksaan.
Artikel berkaitan: Kata Adjektif: Jenis, Contoh Ayat, Contoh Latihan, Nota Ringkas
Jenis Kata Hubung dan Contoh

Dengan memahami jenis-jenis kata hubung dan cara menggunakannya, pelajar dapat menulis karangan dan membuat ayat yang lebih mantap.
Ianya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori utama, iaitu:
1. Kata Hubung Gabungan
Menghubungkan dua klausa atau ayat yang setara.
- Contoh: dan, serta, atau, tetapi
- Ayat contoh:
- Adik membeli buku dan pensel di kedai.
- Saya mahu makan nasi goreng atau mi sup untuk makan tengah hari.
2. Kata Hubung Pancangan
Menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil. Ia terbahagi kepada beberapa jenis:
a) Kata Hubung Pancangan Keterangan
Digunakan untuk memberikan penjelasan lanjut tentang sesuatu keadaan.
- Contoh: kerana, supaya, jika, walaupun
- Ayat contoh:
- Saya belajar bersungguh-sungguh supaya dapat memperoleh keputusan yang cemerlang.
- Kami tetap pergi berkelah walaupun cuaca mendung.
b) Kata Hubung Pancangan Relatif
Digunakan untuk menghubungkan ayat dengan penerangan lanjut tentang sesuatu subjek.
- Contoh: yang
- Ayat contoh:
- Buku yang saya baca itu sangat menarik.
- Hadiah yang diberikan oleh ibu sangat bermakna.
c) Kata Hubung Pancangan Ayat Komplemen
Digunakan untuk memperjelaskan maksud sesuatu ayat utama.
- Contoh: bahawa, agar
- Ayat contoh:
- Guru menasihati kami agar sentiasa berusaha keras.
- Saya yakin bahawa dia akan berjaya suatu hari nanti.
3. Kata Hubung Berpasangan
Digunakan dalam ayat yang mempunyai dua bahagian saling berkaitan.
- Contoh: sama ada…atau, bukan sahaja…malah
- Ayat contoh:
- Dia bukan sahaja rajin malah berbakat dalam seni lukisan.
- Sama ada Ali atau Abu akan mewakili sekolah dalam pertandingan itu.
Contoh Latihan

Pelajar disarankan untuk menguasai penggunaannya melalui latihan berterusan, pembacaan, dan penggunaan dalam penulisan harian.
Arahan: Isikan tempat kosong dengan kata hubung yang paling sesuai.
- Kami makan nasi __________ minum air sirap.
- Ahmad tidak hadir ke sekolah __________ dia demam panas.
- Dia membaca buku __________ mendengar muzik.
- __________ dia miskin, dia tetap dermawan.
- Mereka masuk ke kelas __________ loceng berbunyi.
- __________ awak berusaha lebih, keputusan awak akan cemerlang.
- Bapa saya __________ ibu saya suka menanam bunga.
- Kami tidak hanya menolong guru, __________ kami juga membantu rakan.
- __________ Ani __________ Siti akan mewakili kelas dalam pertandingan itu.
- Kami menonton televisyen __________ adik saya bermain permainan video.
- Dia membeli sebiji kek __________ dua kotak air kotak.
- Kakak menyanyi __________ membersihkan bilik.
- Mereka belajar bersungguh-sungguh __________ mahu mendapat markah tinggi.
- Ayah memandu perlahan __________ jalan licin.
- Kami pergi ke perpustakaan __________ membuat ulang kaji.
- __________ awak malas, awak akan gagal.
- __________ hujan lebat, kami tetap meneruskan perjalanan.
- __________ kamu datang awal, kita boleh berbincang lebih lama.
- Dia mahu menjadi doktor __________ ingin membantu orang sakit.
- __________ hujan berhenti, kami akan keluar bermain.
Jawapan
- dan
- kerana
- sambil
- Walaupun
- apabila
- Jika
- dan
- malah
- Sama ada…atau
- sementara
- dan
- sambil
- kerana
- kerana
- untuk
- Jika
- Walaupun
- Jika
- kerana
- Apabila
Nota Ringkas

Kredit: Cikgu Fadli