Tindik Hidung – Apa Hukumnya Dalam Islam?
Tindik hidung atau nose piercing adalah antara trend anak muda masa kini yang semakin menjadi ikutan ramai tidak kiralah lelaki mahupun perempuan. Trend ini bukan sekadar sebagai aksesori fesyen tetapi juga sebagai satu bentuk ekspresi diri.
Namun, sebelum membuat keputusan untuk menindik hidung, terdapat beberapa aspek penting yang perlu dipertimbangkan terutamanya sekiranya anda beragama Islam.
Jom baca lebih lanjut mengenai hukum tindik hidung dan info-info penting berkaitan.
Budaya Tindik Hidung / Nose Piercing
Budaya tindik hidung sebenarnya sudah wujud dalam pelbagai budaya sejak zaman dahulu kala lagi. Di India, misalnya, tindik hidung adalah sebahagian daripada tradisi keagamaan dan simbol status sosial. Manakala di Papua, ia menjadi identiti kaum lelaki dalam upacara adat.

Jenis-jenis Tindik Hidung
1. Tindik Cuping Hidung (Nostril Piercing): Tindik jenis ini adalah yang paling biasa dan popular. Ia melibatkan penembusan pada bahagian luar salah satu cuping hidung, biasanya di garis lipatan. Proses ini tidak terlalu menyakitkan dan masa penyembuhan sekitar 2 hingga 4 bulan.
2. Tindik Septum: Tindik septum dilakukan pada bahagian tengah hidung yang memisahkan dua lubang hidung. Jarum tidak menembusi rawan keras, sebaliknya hanya melalui lapisan tisu lembut di atasnya. Septum piercing biasanya sembuh dalam masa 1.5 hingga 2 bulan.
3. Tindik Hidung Berganda (Double Nose Piercing): Untuk anda yang mahukan kelainan, boleh cuba tindik hidung berganda. Anda boleh menindik kedua-dua cuping hidung atau dua tindikan pada sebelah yang sama.
4. Tindik Bridge (Bridge Piercing): Tindik bridge dilakukan di kawasan tulang hidung. Ia tidak menembusi tulang, hanya melalui kulit dan tisu lembut. Masa penyembuhan sekitar 2 hingga 2.5 bulan. Namun, bridge piercing lebih berisiko kerana kawasan ini mengandungi lebih banyak salur darah dan mudah tercabut jika tidak berhati-hati.
Hukum Tindik Hidung Dalam Islam – Mufti WP

Berdasarkan penjelasan dalam laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menindik hidung adalah HARAM sama ada lelaki mahupun perempuan. Begitu juga HARAM ke atas kanak-kanak menurut fuqaha mazhab Syafi’i.
Perbuatan menindik hidung merupakan adat tradisi golongan bukan islam yang mempunyai unsur keagamaan. Ia juga bukanlah satu bentuk perhiasan yang menjadi kebiasaan (urf) masyarakat setempat.
Perbuatan mengikut agama lain perlu dijauhi. Ini bersandarkan hadis daripada Ibn Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” – Riwayat Abu Daud (4031)
Al-San’ani mensyarahkan hadis diatas bahawa larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang meniru orang kafir dari segi pemakaian mahupun penampilan.
Kesimpulannya, hukum menindik (piercing) mana-mana bahagian hidung untuk memakai cincin daripada emas, perak atau menindik hidung dengan batu berlian adalah haram sama ada lelaki dan wanita dewasa mahupun untuk kanak-kanak.
Cara Tindik Hidung Dengan Selamat
Bagi yang bukan beragama Islam, aspek keselamatan semasa proses tindik hidung tidak boleh diabaikan. Ia boleh mengundang pelbagai risiko kesihatan jika tidak dilakukan dengan betul.

Berikut adalah beberapa langkah keselamatan penting yang perlu kalian ambil kira sebelum melakukan tindik:
- Pilih Tempat Yang Bertauliah: Pastikan kalian pergi ke klinik kecantikan atau studio tindik yang berlesen dan berpengalaman.
- Gunakan Peralatan Tindik Sekali Pakai: Elakkan tempat yang menggunakan jarum berulang atau peralatan tidak bersih. Ini boleh menyebabkan jangkitan bakteria atau virus seperti Hepatitis dan HIV.
- Gunakan Subang dari Bahan Selamat: Pilih subang daripada bahan hypoallergenic seperti titanium, emas tulen, atau stainless steel gred perubatan. Ini dapat mengurangkan risiko alahan dan keradangan.
- Ikut Arahan Penjagaan Selepas Tindik: Bersihkan kawasan tindik sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan larutan garam atau antiseptik yang disyorkan. Elakkan menyentuh kawasan tersebut dengan tangan kotor.
- Elakkan Memakai Makeup di Sekitar Kawasan Luka: Produk kosmetik boleh menyebabkan iritasi jika terkena pada luka baru. Tunggu sehingga kawasan itu sembuh sepenuhnya sebelum memakai sebarang makeup berhampiran hidung.
Pantang Larang Dari Segi Kesihatan
Selepas melakukan tindik, terdapat beberapa pantang larang dan tips kesihatan yang kalian wajib patuhi untuk mengelakkan komplikasi:
- Jangan Cabut Subang Dalam Tempoh Penyembuhan
Kebanyakan luka tindik memerlukan masa sekurang-kurangnya 6 hingga 8 minggu untuk pulih. Jika kalian menanggalkan subang sebelum luka sembuh sepenuhnya, lubang boleh tertutup atau dijangkiti. - Elakkan Berenang di Kolam Awam
Air kolam mengandungi pelbagai bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan pada luka terbuka. Tunggu sehingga luka benar-benar sembuh sebelum berenang. - Jangan Gunakan Alkohol atau Hidrogen Peroksida untuk Membersih
Bahan ini boleh mengeringkan dan merengsakan kulit. Gunakan larutan garam atau cecair antiseptik ringan yang lebih mesra kulit. - Pantau Tanda-Tanda Jangkitan
Jika terdapat simptom seperti bengkak melampau, kemerahan yang tidak surut, keluar nanah, atau demam – segera berjumpa doktor. - Elakkan Menukar Subang Terlalu Cepat
Walaupun teruja dengan subang baru, pastikan luka benar-benar sembuh sebelum menggantikan subang bagi mengelakkan kecederaan atau iritasi semula.
Risiko & Komplikasi Tindik Hidung
Setiap jenis tindik hidung mempunyai risiko seperti:
- Jangkitan bakteria atau virus (HIV, hepatitis)
- Bengkak, kemerahan, atau nanah
- Keloid (parut tebal)
- Pendarahan atau koyakan jika barang kemas tersangkut
- Alahan logam
Jika anda mengalami tanda-tanda jangkitan seperti bengkak melampau, nanah, atau demam, segera dapatkan rawatan doktor.
Rujukan: