Sebahagian individu di Malaysia mengalami masalah katarak mata yang menyebabkan penglihatan mereka semakin kabur.
Jika ianya tidak dirawat dan dicegah, ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi dan penyakit lain yang akan berlaku.
Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui jenis, punca katarak mata dan rawatan melibatkan masalah ini.
Apa Itu Katarak Mata?
Katarak mata ialah pengabusan semula jadi kanta mata, yang terletak di belakang iris dan anak mata (pupil).
Dalam mata biasa, cahaya melalui kanta telus ke retina dan apabila ia mencapai retina, cahaya ditukar menjadi isyarat saraf yang dihantar ke otak.
Kanta mestilah jelas untuk membolehkan retina menerima imej yang tepat (sharp) dan sekiranya kanta berkabus akibat katarak mata, imej yang dilihat akan kabur.
Kebanyakan masalah ini berkembang perlahan-lahan, dan berlaku kelak sewaktu usia makin meningkat, dan ia boleh menjejaskan aktiviti biasa seperti membaca, menonton televisyen dan memandu.
Jenis
Terdapat 3 jenis masalah penglihatan ini yang sering berlaku iaitu:
- Korteks – kawasan legap di tepi luar kanta
- Nuklear – kekeruhan di pusat kanta
- Subkapsul – kawasan legap ke arah belakang kanta
Punca Katarak Mata
Punca-punca paling biasa berlaku adalah penuaan disebabkan pengumpulan protein dalam kanta yang mula mengaburkan sebahagian kawasan kecil.
Namun, lama-kelamaan ianya boleh bertambah besar dan mengaburkan lebih banyak kawasan kanta, serta menyukarkan penglihatan.
Namun, ia juga boleh disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti:
- Kongenital – Bayi yang dilahirkan dengan atau mendapat masalah ini semasa kecil.
- Radiasi – Berlaku selepas pendedahan kepada sesetengah jenis radiasi.
- Sekunder – Selepas surgeri bagi masalah berkaitan mata yang lain seperti glaukoma, atau disebabkan isu kesihatan seperti diabetes, selain perubatan tertentu.
- Trauma – Biasanya berlaku selepas kecederaan mata.
Simptom
Berikut merupakan tanda atau simptom katarak mata yang anda perlu perhatikan:
- Penglihatan menjadi kabur atau berkabus.
- Warna subjek yang anda lihat kelihatan pudar atau kurang terang.
- Silau melampau daripada lampu atau cahaya matahari.
- Muncul lingkaran cahaya (halo) di sekeliling sumber cahaya.
- Kesukaran melihat dengan jelas pada waktu malam.
- Penglihatan berganda dalam satu mata.
- Kerap perlu tukar cermin mata atau kanta sentuh.
Meskipun tanda-tanda ini boleh menyerupai masalah mata yang lain, hanya pemeriksaan doktor dapat menentukan punca sebenar dan rawatan yang sesuai.
Oleh itu, jangan abaikan sebarang perubahan pada penglihatan.
Segera buat pemeriksaan mata supaya rawatan dapat dimulakan lebih awal dan komplikasi dapat dielakkan.
Komplikasi & Penyakit Berkaitan
Jika penyakit katarak mata ini tidak dirawat atau anda tidak menjalani pembedahan, ia boleh memburukkan lagi penglihatan anda.
Komplikasi yang bakal dialami termasuklah:
- Lelehan daripada mata
- Mata semakin sakit dan merah
- Tiba-tiba penglihatan kabur
- Bengkak pada mata
- Retina koyak, tertanggal, dan berdarah.
Pencegahan
Menjaga pemakanan harian adalah antara cara terbaik untuk mengurangkan risiko katarak mata.
Diet yang seimbang dan kaya dengan nutrien penting dapat membantu melindungi kesihatan mata secara semula jadi.
Antara nutrien yang berperanan penting termasuklah Vitamin E, yang banyak terdapat dalam makanan seperti sayuran berdaun hijau tua, kekacang, avokado, kerang, ikan, minyak sayuran, brokoli, labu dan buah-buahan tertentu.
Selain itu, lutein dan zeaxanthin – dua antioksidan yang membantu menyerap cahaya biru berbahaya — juga penting.
Anda boleh mendapatkannya dalam makanan seperti telur, bayam, kale, salad, brokoli, kacang peas, dan pucuk Brussels.
Vitamin C serta asid lemak omega-3, yang banyak terkandung dalam makanan laut dan buah-buahan segar, turut menyumbang kepada perlindungan mata daripada kerosakan oksidatif yang boleh membawa kepada pembentukan katarak.
Dengan mengamalkan gaya pemakanan sihat sejak awal, anda bukan sahaja menyokong kesihatan mata, malah mencegah pelbagai penyakit kronik lain yang berkait rapat dengan proses penuaan.
Kos Pembedahan Katarak Mata Di Hospital Kerajaan & Swasta
Anggaran kos pembedahan katarak mata di Malaysia adalah seperti di bawah.
Perlu diingat, kos pembedahan katarak mata di hospital kerajaan dan swasta adalah berbeza.
Bagi hospital swasta, harga pakej boleh berubah mengikut promosi setiap cawangan hospital.
Rujuk hospital untuk maklumat lanjut mengenai promosi dan harga terkini yang mereka tawarkan.
i) Hospital Kerajaan
Kos pembedahan katarak mata di hospital kerajaan dianggarkan RM100 hingga RM500 untuk setiap rawatan.
ii) Columbia Asia
Harga yang ditawarkan bermula RM3,500.

iii) KPJ
Harga yang ditawarkan adalah RM3,600.

iv) Sunway Specialist Centre
Harga yang ditawarkan adalah RM3,999.

v) Gleneagles
Harga yang ditawarkan adalah RM3,799.

Sumber: https://gleneagles.com.my/ms/medical-a-z/cataract
Baca juga: Kos Bersalin Hospital Kerajaan (Anggaran Harga Kelas dan Prosedur)