Pada pertengahan tahun 2023, negara kita dikejutkan dengan kes batuk kokol yang menular.
Berdasarkan kenyataan media daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 19 Ogos 2023, sebanyak 329 kes Pertussis dengan 23 kematian telah dilaporkan.
Namun, angka ini adalah lebih rendah berbanding kes batuk kokol pada tahun 2019 iaitu sebanyak 697 kes telah dilaporkan.
Meskipun KKM telah menyatakan bahawa jangkitan adalah pada tahap yang terkawal, namun kita perlu mainkan peranan dan mengambil langkah sewajarnya untuk mencegah penularan batuk kokol.
Tambahan pula, ia lebih mudah dihidapi oleh bayi kecil berusia 2 tahun ke bawah dan golongan rentan seperti warga emas.
Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut mengenai batuk kokol.
Apa Itu Batuk Kokol?
Pertussis atau batuk kokol (whooping cough) adalah jangkitan daripada bakteria akut iaitu Bordetella Pertussis yang melibatkan saluran pernafasan.
Dalam kebanyakan kes, ia sama dengan batuk yang teruk namun ia turut diikuti dengan bunyi nyaring ketika menarik nafas dan berbunyi ‘whoop’ bernada tinggi.
Adakah batuk kokol boleh berjangkit?
Ya! Penyakit ini menular melalui udara dan boleh menjangkiti hidung, mulut dan tekak.

Golongan Berisiko Tinggi
Adakah batuk kokol bahaya?
Sudah tentu! Malahan, pertussis boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia dan jantina.
Namun, bayi, kanak-kanak dan golongan rentan seperti warga emas dan individu dengan tahap imuniti rendah merupakan golongan paling berisiko untuk dijangkiti.

Tanda/ Simptom Batuk Kokol
Gejala bagi penyakit ini adalah :
- Selsema dan bersin yang teruk
- Pesakit mula alami batuk gatal dan lama kelamaan ia menjadi batuk berulang (paroxysmal), biasanya dalam tempoh 1 hingga 2 minggu. Ia juga boleh berlarutan sehingga 1 hingga 2 bulan atau lebih.
- Setiap siri paroxysm boleh mengakibatkan pesakit menjadi kebiruan (cyanosis) kerana tidak sempat bernafas.
- Kahak batuk biasanya berwarna jernih. Batuk juga boleh disusuli dengan muntah.
- Tempoh batuk yang lama sehingga pesakit rasa penat yang melampau.

Faktor Risiko
Siapa yang lebih cenderung dijangkiti batuk kokol?
Beberapa keadaan boleh meningkatkan kebarangkalian seseorang mendapat penyakit ini.
Sebagai contoh, perlindungan daripada vaksin yang diberikan ketika kecil mungkin sudah berkurangan selepas beberapa tahun.
Selain itu, bayi yang belum melengkapkan dos imunisasi mereka juga lebih mudah terdedah kepada jangkitan kerana sistem pertahanan badan mereka belum cukup kuat.
Diagnosis
Nota penting: Artikel ini hanya sebagai rujukan umum dan tidak menggantikan pandangan doktor bertauliah. Sila dapatkan nasihat profesional sekiranya anda mengalami gejala.
Bagaimana doktor mengenal pasti batuk kokol?
Pada peringkat awal, batuk kokol sukar dibezakan kerana simptomnya menyerupai selesema biasa atau jangkitan saluran pernafasan seperti bronkitis.
Oleh itu, untuk memastikan diagnosis yang tepat, beberapa ujian mungkin diperlukan.
Contohnya, doktor boleh mengambil sampel dari hidung atau tekak untuk diuji bagi kehadiran bakteria penyebab penyakit ini.
Ujian darah pula boleh memberikan petunjuk melalui kiraan sel darah putih yang tinggi, menandakan tubuh sedang melawan jangkitan.
Dalam kes tertentu, sinaran-x dada digunakan untuk menilai jika terdapat jangkitan sekunder seperti pneumonia.
Komplikasi
Sekiranya penyakit ini berlarutan dan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk, antaranya :
- Pneumonia (radang paru-paru).
- Encephalopathy (radang otak).
- Apnea (berhenti nafas seketika).
- Kekurangan zat dan berat badan berkurangan akibat muntah berulang.
- Sawan akibat kekurangan bekalan oksigen ke otak berikutan batuk yang berterusan sehingga tidak sempat bernafas.
- Kematian.
Kaedah Mencegah
- Individu yang bergejala perlu sentiasa amalkan etika batuk dan bersin dengan menutup mulut dan diikuti dengan mencuci tangan bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain, terutamanya kepada kanak-kanak.
- Orang yang bergejala juga dinasihati supaya tidak mendekati atau mencium bayi memandangkan bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Pertussis.
- Minum air secukupnya. Bagi pesakit yang alami batuk, makanlah dalam kuantiti sedikit kerana ia dapat membantu mengelakkan muntah selepas batuk.
- Elakkan daripada punca udara tidak bersih seperti asap rokok, tembakau atau kepulan asap daripada tempat pembakaran.


Rawatan Batuk Kokol
Apakah langkah rawatan jika disahkan menghidap batuk kokol?
Sekiranya penyakit ini dikesan awal, antibiotik boleh diberikan untuk menghapuskan bakteria, meredakan gejala dan mempercepatkan pemulihan.
Walaupun rawatan bermula agak lambat, ubat masih boleh memberi manfaat.
Sekiranya anda atau anak anda menunjukkan tanda-tanda kekurangan cecair akibat sukar menelan atau kerap muntah, segera berjumpa doktor.
Dalam situasi yang lebih serius, cecair mungkin perlu disalurkan melalui intravena.
Untuk mengelakkan jangkitan menular, kanak-kanak yang dijangkiti mungkin perlu dikuarantin seketika.
Jika keadaan terkawal dan tidak terlalu teruk, penjagaan di rumah adalah mencukupi, terutamanya bagi anak yang sudah meningkat usia.
Peranan Ibu Bapa & Individu Bergejala
Bagi mengekang penularan batuk kokol, ibu bapa serta individu bergejala perlulah mengambil langkah-langkah seperti berikut.
- Ibu bapa yang mempunyai bayi di rumah perlulah memastikan anak-anak mendapatkan imunisasi DTaP yang lengkap mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan (rutin pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan).
- Asingkan diri/bayi/kanak-kanak yang dijangkiti.
- Kekal berada di rumah sekiranya dijangkiti. Lengkapkan rawatan antibiotik mengikut arahan doktor.

Bagi mencegah penularan penyakit ini, anda dinasihatkan untuk memakai pelitup muka ketika berada di kawasan tumpuan awam.
Sekiranya anda atau anak menunjukkan simptom, rujuklah kepada doktor dengan segera bagi mengelakkan sebarang komplikasi yang tidak diingini.
Sumber : myhealth.gov.my, Berita Harian