15+ Tempat Menarik Langkawi – Destinasi Mesra Keluarga
Langkawi sememangnya sebuah destinasi percutian yang tidak pernah menghampakan. Gabungan alam semula jadi yang memukau, pantai berpasir putih, dan pelbagai tarikan unik menjadikan pulau lagenda ini pilihan utama pelancong tempatan mahupun luar negara.
Jom terokai satu persatu tempat menarik yang wajib kalian singgah kalau ke Langkawi kelak!
1. Langkawi Island Hopping (Pulau Dayang Bunting – Pulau Singa Besar – Pulau Beras Basah – Pulau Jong)
Kalau dah sampai Langkawi, memang rugi besar kalau tak cuba aktiviti Island Hopping!
Anda boleh berkunjung ke beberapa pulau termasuk Pulau Dayang Buntingi. Pulau ini terkenal dengan tasiknya yang berbentuk wanita mengandung. Di pulau ini anda boleh mandi manda atau melakukan aktiviti air seperti berkayak.

Lepas tu, anda boleh singgah pula di Pulau Singa Besar dan kemudian, bersantai kat Pulau Beras Basah. Pantai di pulau-pulau ini memang cantik sangat. Sesuai untuk lepak, berenang dan of course, ambil gambar!

Kalau bernasib baik, anda juga akan lalu Pulau Jong. Trip island hopping ini biasanya ambil masa dalam 4-5 jam. Anda boleh pilih pakej berdasarkan agen yang anda tempah.
2. Skycab Langkawi & Langkawi Sky Bridge
- Alamat: Langkawi, Kedah, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap Hari, 9:30 AM–6 PM
SkyCab adalah kereta kabel paling curam di Asia dengan panjang kira-kira 2 km dan ketinggian hampir 1 km. Satu kali perjalanan biasanya mengambil masa kira-kira 15 minit sahaja.
Di puncak, terdapat platform pemerhati dengan pemandangan 360 darjah dan akses ke Langkawi Sky Bridge.
Di atas Langkawi Sky Bridge, anda boleh melihat pemandangan hampir keseluruhan Pulau Langkawi.
Ss SkyCab biasanya berharga sekitar RM55 hingga RM65 untuk dewasa, harga boleh berubah mengikut pakej dan promosi. Untuk ke Sky Bridge, tiket tambahan sekitar RM16 diperlukan.
Bagi yang tak nak bersesak-sesak atau menunggu lama, anda boleh beli express lane dengan tambahan kos kira-kira RM50.
Tiket masuk boleh dibeli melalui laman web rasmi berikut: https://panoramalangkawi.com/
3. Dream Forest Langkawi
- Alamat: Lubuk Semilang, Mukim, Jalan Padang Gaong, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap Hari, 7 PM–12 AM
Dream Forest Langkawi juga antara tempat menarik di Langkawi yang sesuai dikunjungi oleh seisi keluarga.
Dream Forest Langkawi adalah merupakan laluan hutan sepanjang 1.2 km yang akan membawa pengunjung menyusuri kisah-kisah legenda Langkawi seperti Dayang Bunting, Merong Mahawangsa dan Sang Gedembai.
Dengan gabungan teknologi canggih seperti pencahayaan interaktif, muzik, dan penceritaan digital, setiap langkah terasa seperti masuk ke dunia fantasi!
Pembelian tiket masuk boleh dilakukan melalui laman web berikut: https://dreamforest.com.my/
4. Pantai Cenang
- Alamat: Jalan Pantai Cenang, Mukim Kedawang, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
- Waktu Operasi: –
Pantai Cenang adalah destinasi menarik di Langkawi yang tidak boleh dilepaskan. Pantai sepanjang 2 km ini dihiasi dengan pasir putih halus, air laut biru jernih dan deretan pokok kelapa.
Pada siang hari, suasana di sini meriah dengan pelbagai aktiviti air seperti jet ski, parasailing dan banana boat. Waktu malam pula, Pantai Cenang bertukar menjadi pusat hiburan dengan bar dan restoran yang menawarkan muzik live dan suasana santai.
5. The Zon Duty Free dan Cenang Mall
- Alamat: Jalan Pantai Cenang, Mukim Kedawang, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia (Berhampiran Pantai Cenang)
- Waktu Operasi:
- The Zon Duty Free: Isnin-Khamis (10 AM–7 PM), Jumaat-Ahad (10 AM–9 PM),
- Cenang Mall: Setiap Hari, 11 AM–11 PM
Kalau nak membeli-belah, anda boleh singgah di The Zon Duty Free dan Cenang Mall. Lokasinya sangat berdekatan dengan Pantai Cenang, kira-kira 12 minit sahaja berjalan kaki.
Kedua-dua tempat ini menawarkan pelbagai barangan bebas cukai. Contohnya, coklat, minyak wangi, pinggan mangkuk dan pelbagai cenderamata. Harga barang di sini sudah pasti jauh lebih murah berbanding tempat lain. Memang wajib shopping!
6. Pasar Malam Temoyong
- Alamat: 19, Jalan Bohor Tempoyak, Kampung Lubok Buaya, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
- Waktu Operasi: Khamis, 6–11 PM
Kalau anda berada di Langkawi pada hari Khamis, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Pasar Malam Temoyong!
Pasar malam ini terletak berhampiran Pantai Cenang dan beroperasi setiap Khamis sahaja. Inilah tempatnya untuk anda merasai suasana tempatan yang meriah dan menikmati pelbagai makanan jalanan.
Pasar malam ini menawarkan lebih daripada 50 gerai yang menjual pelbagai juadah tempatan seperti satay, char kuey teow, ais kacang, ayam percik, rojak dan macam-macam lagi.
Selain makanan, terdapat juga gerai yang menjual barangan seperti pakaian, cenderamata dan aksesori dengan harga yang berpatutan.
7. Langkawi Underwater World
- Alamat: Jalan Pantai Cenang, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari, 9:30 AM–6:30 PM
Seterusnya, tempat menarik di Langkawi yang anda wajib singgah ialah Underwater World Langkawi. Ia terletak di Pantai Cenang, bersebelahan dengan The Zon Duty Free.
Langkawi Underwater World adalah merupakan salah satu akuarium terbesar di Malaysia. Akuarium ini menempatkan lebih 4,000 spesies hidupan laut dan darat.
Antara tarikan utamanya adalah terowong bawah air sepanjang 15 meter yang membolehkan anda melihat hidupan laut seperti jerung, penyu, dan ikan pari berenang betul-betul atas kepala!
Kalau nak tengok aksi comel haiwan, jangan lepaskan sesi pemberian makanan: penguin Afrika dan Rockhopper pada pukul 11:00 pagi dan 2:45 petang, anjing laut pada pukul 2:30 petang (Sabtu–Khamis) atau 4:00 petang (Jumaat), dan berang-berang pada pukul 11:45 pagi dan 4:15 petang.
Untuk membeli tiket masuk, anda boleh layari pautan berikut: https://underwaterworldlangkawi.com/
8. Menara MAHA Langkawi
- Alamat: Kuah, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari, 10 AM–8 PM
Menara MAHA Langkawi adalah anatara tarikan yang ikonik di Langkawi. Menara ini merupakan mercu tanda baru di Langkawi yang menawarkan pemandangan panorama 360 darjah bandar Kuah serta Laut Andaman dari dek pemerhati di tingkat 18 dan 33.
Selain itu, pengunjung juga boleh mencuba pengalaman berjalan di atas jubin kaca di dek tertinggi. Fuh, siapa yang gayat tu memang mencabar. Menara ini juga mempunyai ruang legar yang luas, restoran dengan pelbagai pilihan makanan serta kedai-kedai yang menjual barangan tempatan.
Kalau nampak dari jauh, menara MAHA ni dah macam reka bentuk Eiffel Tower di Paris tau!
Tiket masuk boleh dibeli melalui pautan berikut: https://www.mahatower.com.my/
9. Langkawi Wildlife Park
- Alamat: Lot 1485, Jalan Ayer Hangat, Kampung Belanga Pechah, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia.
- Waktu Operasi: Setiap hari, 8:30 AM–5 PM
Langkawi Wildlife Park menawarkan peluang untuk berinteraksi dengan pelbagai spesies haiwan dari seluruh dunia. Selain itu, pengunjung boleh turut serta sesi memberi makan haiwan-haiwan jinak seperti burung, rusa, arnab dan sebagainya.
Taman ini juga dilengkapi dengan kemudahan mesra kanak-kanak dan kawasan rehat. Ini menjadikannya tempat yang ideal untuk lawatan bersama anak-anak sambil belajar mengenai kepelbagaian hidupan liar.
Anda boleh beli tiket masuk secara dalam talian melalui pautan berikut:
10. Kampung Ayer Hangat (Air Panas Semulajadi)
- Alamat: Ayer Hangat Village, Km 16, Jalan Ayer Hangat, Mukim Ayer Hangat, 07000 Langkawi, Kedah.
- Waktu Operasi: Setiap hari, 9:30 AM–6 PM
Kampung Ayer Hangat terletak berdekatan Langkawi Wildlife Park. Anda boleh rancang perjalanan anda untuk singgah sekali ke sini apabila hendak ke Langkawi Wildlife Park.
Tempat ini terkenal dengan kolam air panas semula jadi yang kaya dengan mineral seperti sulfur, kalsium, dan magnesium yang dikatakan mempunyai khasiat untuk kesihatan kulit dan melegakan otot.
Selain itu, di sini juga terdapat mural batu sungai sepanjang 18 meter yang menceritakan legenda tempatan antara dua gergasi Mat Chinchang dan Mat Raya.
Harga tiket masuk adalah sangat berpatutan, iaitu RM5 untuk dewasa dan kanak-kanak bawah 12 tahun masuk percuma. Tempat ini sesuai untuk semua peringkat umur dan paling penting, mesra keluarga.
11. Langkawi Adventure & Extreme Park
- Alamat: Lot 1453, Kampung Kilim, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia.
- Waktu Operasi: Setiap hari, 10 AM–7 PM
Langkawi Adventure & Xtreme Park (LAXP) adalah taman tema aktiviti lasak yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik seperti ATV jungle ride, jungle horse riding, flying fox, indoor go-kart, paintball, archery, 7D motion cinema, Langkawi Sky Bike dan sebagainya.
Taman ini sangat sesuai untuk mereka yang sukakan aktiviti mencabar dan nak cuba sesuatu yang lain. Pakej yang ditawarkan juga fleksibel, jadi anda boleh pilih ikut bajet dan minat sendiri.
12. Kilim Geoforest Park
- Alamat: Kilim River Tourism Jetty, Mukim Kampung Kilim, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari, 8:30 AM–5 PM
Kilim Geoforest Park merupakan salah satu destinasi alam semula jadi paling menarik di Langkawi. Taman ini meliputi lebih 100 km² hutan bakau, formasi batu kapur berusia ratusan juta tahun, gua-gua semula jadi dan pelbagai habitat hidupan liar.
Di sini anda boleh mengikuti pelbagai aktiviti seperti Mangrove Tour dengan menaiki bot, kayak atau jet ski. Selain itu, tarikan utama di sini ialah lawatan ke Gua Kelawar, pemerhatian burung helang, lawatan ke ladang ikan terapung dan peluang melihat hidupan liar seperti monyet, burung, biawak dan sebagainya.
Taman ini juga merupakan sebahagian daripada UNESCO Global Geopark. Lokasinya juga mudah diakses dan mesra keluarga.
13. Oriental Village
- Alamat: 272, Jalan Telaga Tujuh, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari, 8:30 AM–6 PM
Oriental Village Langkawi merupakan kompleks bertema terbuka yang menjadi pintu masuk utama ke tarikan terkenal seperti Langkawi SkyCab (kereta kabel) dan SkyBridge. Kompleks ini menampilkan lebih 95 kedai, restoran, kafe serta pelbagai gerai cenderamata dan pakaian.
Di sini anda boleh lakukan pelbagai aktiviti lain seperti Art in Paradise (muzium seni 3D), segway tour, quad bike dan animal farm yang sesuai untuk kanak-kanak.
Suasana perkampungan ini dikelilingi tasik, landskap hijau dan pemandangan gunung yang memukau. Ini menjadikan ia lokasi yang sangat ‘instagrammable’. Kemudahan seperti musolla, ATM dan money changer turut disediakan untuk keselesaan pengunjung.
14. Crocodile Adventureland Langkawi
- Alamat: Crocodile Adventureland Langkawi, Jalan Datai, Mukim Air Hangat, 07100 Langkawi, Kedah, Malaysia.
- Waktu Operasi: Setiap hari, 9:30 AM–6 PM
Crocodile Adventureland Langkawi adalah taman buaya terbesar di Langkawi dan salah satu tempat menarik di Langkawi yang anda tidak boleh lepaskan.
Taman ini menempatkan lebih 1,000 ekor buaya dari pelbagai spesies dengan landskap hijau dan kolam konkrit.
Antara tarikan utama di sini termasuk pertunjukan memberi makan buaya yang mendebarkan, di mana pengunjung boleh menyaksikan penjaga memberi makan buaya muda dan dewasa dengan selamat.
Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti memberi makan buaya kecil dengan pellet makanan yang disediakan bersama tiket masuk.
Tiket masuk boleh dibeli secara dalam talian melalui pautan berikut: https://www.crocodileadventureland.com
15. Legenda Park
- Alamat: Kuah, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari, 7 AM–7 PM
Taman Lagenda Langkawi (Legenda Park) merupakan taman tema berasaskan mitos dan legenda yang terletak di Kuah, Langkawi.
Taman seluas 50 hektar ini menampilkan 17 arca besar yang menggambarkan kisah-kisah rakyat Langkawi, termasuk legenda Mahsuri, Garuda dan Tasik Dayang Bunting.
Terletak bersebelahan Kuah Jetty dan Eagle Square, taman ini sangat mudah diakses dan sesuai untuk semua peringkat umur. Taman ini juga menyediakan kemudahan seperti meja berkelah, tandas awam dan laluan mesra kerusi roda.
Masuk ke taman ini adalah percuma.
16. Laman Padi Langkawi
- Alamat: Jalan Pantai Cenang, Pantai Cenang, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari, 9 AM–5 PM
Di Laman Padi Langkawi anda berpeluang untuk melihat proses penanaman padi dari awal hingga menjadi beras. Di sini ada sawah padi, taman herba dan galeri padi yang memaparkan sejarah serta teknik pertanian tradisional dan moden.
Pengunjung juga berpeluang untuk melihat demonstrasi menanam dan menuai padi secara tradisional, menangkap ikan di kawasan sawah dan sebagainya.
Ini menjadikan lawatan ini sangat interaktif dan sesuai untuk keluarga serta mereka yang ingin belajar tentang budaya pertanian Malaysia.
Di sini juga ada restoran yang menyajikan makanan tradisional Melayu dalam suasana yang dikelilingi pemandangan sawah padi. Tempat ini juga menawarkan spa herba bagi mereka yang ingin menikmati rawatan tradisional menggunakan bahan semula jadi.
17. Kompleks Kraf Langkawi
- Alamat: Kompleks Kraf Langkawi, Jalan Teluk Yu, Mukim Bohor, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia.
- Waktu Operasi: Setiap hari, 9 AM–6 PM
Kompleks Kraf Langkawi adalah destinasi wajib bagi mereka yang ingin mengenali warisan seni kraf tempatan, membeli cenderamata unik dan merasai pengalaman interaktif dalam suasana tradisional Melayu.
Kompleks ini menawarkan pelbagai ruang jualan produk kraf tempatan dan tempat terbaik untuk mendapatkan cenderamata asli Langkawi.
Selain membeli-belah, pengunjung boleh menyertai aktiviti interaktif seperti mencuba sendiri pembuatan batik dan kraf tangan, serta melawat Muzium Warisan dan Muzium Adat Istiadat & Perkahwinan untuk memahami sejarah dan budaya tempatan.
18. Splash Out Langkawi
- Alamat: PT 1233 Persiaran Mutiara Kelana Mas Kuah, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia
- Waktu Operasi: Setiap hari, 11 AM–6 PM
Satu lagi tempat menarik di Langkawi yang anda wajib kunjungi ialah Splash Out Langkawi. Ia merupakan sebuah taman tema air terbesar dan paling moden di Langkawi.
Splash Out Langkawi dilengkapi dengan 12 tarikan utama seperti gelongsor air berkelajuan tinggi, kolam ombak, lazy river dan taman permainan air untuk kanak-kanak.
Taman ini sangat mesra keluarga dan dilengkapi dengan kemudahan seperti restoran, bilik persalinan, ruang solat, serta akses mesra OKU.
Lokasinya yang strategik di Kuah, berhampiran jeti dan mudah diakses dari Lapangan Terbang Langkawi, menjadikan ia pilihan utama untuk aktiviti santai dan menyeronokkan di pulau ini.
Splash Out sesuai untuk semua peringkat umur, daripada kanak-kanak kecil hinggalah dewasa.